Tuesday, July 2, 2013

Hari Kejohanan Olaraga & Balapan SKPI ke 12

Pada 29 Jun 2013, Sekolah Kebangsaan Permai Indah telah mengadakan Kejohanan Olahraga Padang dan Balapan yang ke-12. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Para guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di khemah utama. Tetamu kehormat iaitu, Yang Dipertua PIBG, Tn Hj, Zainol Abidin bin Ismail yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi disambut oleh Guru Besar sekolah serta Guru-Guru Penolong Kanan Sekolah.

Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Maskot-maskot rumah yang terdiri daripada Spiderman (Rumah Merah), SpongeBob (Rumah Kuning), Ninja Turtle (Rumah Hijau) dan Detektif Conan (Rumah Biru) menarik perhatian para penonton. Diikuti dengan ucapan Guru Besar, En Mohd Hasri b Hassan.

YDP PIBG, Tn Hj Zainol Abidin menerima tabik hormat kontinjen-kontinjen rumah yang mengambil bahagian serta unit-unit beruniform. Seterusnya beliau merasmikan sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan trek dan sukaneka dijalankan serentak. Acara lari 4 X 100 meter dan Tarik Tali menjadi acara kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah disampaikan oleh Guru Besar serta AJK PIBG.

Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan Padang dan Balapan ke-12 ini ialah pasukan Rumah Kuning. Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari.














No comments:

Post a Comment